Bicara Hati Seorang Perempuan


Puji-pujian buat-Mu Tuhan…
Lantaran telah menjadikan aku seorang perempuan
Yang diciptakan dari tulang rusuk kiri Adam, dengan seindah-indahnya kejadian…

Akulah si tulang bengkok yang Kau gubah dengan kekuatan perasaan mengatasi panjangnya akal fikiran…

Sebagai fitrah dan anugerah hasil munajah seorang yang bernama lelaki…
Namun, biarlah kejadianku ini memberi pakai guna…
Bengkok yang punya manfaatnya…

Kiranya aku menjadi seorang isteri…
Kurniakanlah aku kekuatan yang membolehkan aku menjadi tulang belakang seorang suami…
Pengembang perjuangan di sayap kiri,
Diadun dengan kelembutan yang melayakkan aku menjadi teman setia,
penyejuk mata,
pembina semangat,
penguat jiwa,
Seanggun peribadi Siti Khadijah…
Sumber ketenangan Muhammad SAW utusan-Mu

Bebad jiwa dari belenggu perasaan keperempuanan yang memiliki nafsu sembilan,
Merdeka dari kepentingan peribadi setulus Siti Fatimah yang sering saja ditinggalkan suaminya Saidina Ali…
Dihantar pemergiannya tanpa bertanya..”bilakah pulangnya?”
Disambut kepulangannya dengan khidmat bersulamkan kemesraan…

Rumahtangga adalah syurga…
Tempat suburnya cinta ketuhanan akal yang tunggal…
Tidak akan dibiarkan hanya bergelar
Dicelahan periuk belanga,
Dibalik lipatan lampin anak,
Diatas ranjang yang penuh pengertian,
Dibalik daun pintu yang penuh penantian,
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat…
Menjadi pentadbir disebalik tabir…

Namun, “siapalah aku untuk memiliki watak wanita solehah dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di hati”
Kurniakanlah aku sekeping hati yang sentiasa insaf…
Kurniakanlah aku sifat-sifat mahmudah…
Kurniakanlah aku ilmu yang bermanfaat…
Hak seorang suami tidakkan mungkin dapatku penuhi…
Biar telahku jilat nanahnya yang berlelehan…
Walau telah ku tadahkan wajah ini untuk mengusap debu ditelapak kaki…
Namun mungkinkah aku bisa menggapai gelar-Mu…

Dan sememangnya aku mengimpikan watak seorang ibu yang bakal melahirkan putera-putera secekal Musa’ab bin Umair…
Yang menggadai dunia demi kasih TuhanNya…
Benar aku mengimpikan putera-putera segigih Zubair Ibnul Awwaam…
Yang diangkat Rasulullah sebagai hawarijnya, hasil didikan ibunya setelah melalui zaman anak-anak yang yatim dan penuh kekurangan…
Ingin sekali aku memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah…
Yang rela direbus demi mempertahankan iman…
Ingin benar aku mendambakan puteri sesuci Maryam…
Yang seluruh hidupnya mengabdikan diri kepada Tuhan…

Meskipun aku bukanlah seorang ibu yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi
Namun, dengan sepenuh hati aku bermunajah kepada-Mu Allah…
Mudah-mudahan zuriatku bakal menampilkan mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid..
Srikandi-srikandi yang memakmurkan muka bumi Allah dengan kesolehan…
Yang saling rela berkorban dan dikorbankan…
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman sepertimana kisah seorang ibu yang telah kematian putera-puteranya di medan jihad…

“Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia…
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi, aku rela dia turut gugur di jalan Ilahi…”
“Namun jika aku, Kau takdirkan akan kehilangan mereka,
tetapkanlah hatiku…”

Setenang Ummu Faisal… yang tidak menjadikan kematian suami dan
anak-anaknya halangan untuk membulatkan kecintaan buatMu Tuhan…

Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu…
Inilah harapan dlm munajah ku…
Kiranya kekasih-Mu sendiri pernah berucap…
“Ku lihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah perempuan…”
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan apa yang aku perbuat… Aku mengakui nikmat-Mu yang Engkau curahkan terhadapku…
Dan aku mengakui atas dosa-dosa ku…
Maka ampunilah aku…
Kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa-dosa ku selain Engkau Ya Allah…
Kurniakanlah kepadaku zuriat yang memberi manfaat kepada diriku dan agamaku…

Tanpa petunjuk-Mu…
Selangkah yang mengiringi ku ke syurga-Mu…
Sederap mencebur ke neraka-Mu…

Wallahu’alam…

0 comments:



Post a Comment